11 July 2009

MENGAPA?

I
Mengapakah agaknya pada hari ini seorang tuan rumah menghebahkan kepada penduduk kampung bahawa dia akan menebang pokok yang tumbuh di halaman rumahnya tiga tahun akan datang? (Pokok yang tumbuh itu kian hari kian menghalang laluan murid dan pelajar sekolah yang melalui laluan itu; dan itulah satu-satunya laluan bagi menuju ke sekolah. Akar pokok yang berselirat dan timbul berbonjol-bonjol hingga ke permukaan jalan itu sudah kerap kali menyungkurkan murid dan pelajar yang lalu di jalan itu. Malah, pelajar universiti pun ada yang tersungkur apabila melalui laluan mesti tempuh itu. Penduduk kampung sebenarnya sudah lama terjerit-jerit dari luar rumah si tuan rumah agar pokok itu ditebang sahaja. Akan tetapi, pelbagai dalih diberi oleh si tuan rumah bagi menyelamatkan pokok yang baru enam tahun berada di halaman rumahnya itu.)


Alhamdulillah...!

02 July 2009

SEMALAM YANG DITINGGALKAN

I
Beberapa hari yang lalu, sekolahku mengadakan hari terbuka sempena peperiksaan pertengahan tahun. Hari terbuka sekolahku yang ini baharu sahaja dilaksanakan, berbanding sekolah tempatku bertugas sebelumnya. Tujuan utamanya bagi bersua muka antara ibu bapa, guru dan murid, di samping menandatangani buku rekod prestasi murid. Dalam pertemuan itu, apa sahaja persoalan berkaitan kemajuan murid di sekolah boleh diajukan kepada guru kelas terutamanya. Guru kelas pula boleh bertanya tentang tabiat murid di rumah. Bagi ibu bapa yang memanfaatkan pertemuan ini secara positif, tidak melepaskan peluang bertanya tentang perkembangan anak masing-masing. Namun, adatnya manusia tidak semua sama. Rambut sama hitam tetapi hati lain-lain.

Dalam satu kes, seorang ayah tanpa segan silu meluahkan rasa terhadap seorang guru kelas. Mungkin itu rasa yang dibawa dari tahun sebelumnya. Sebaik-baik duduk di kerusi yang disediakan, terus sahaja lelaki bergelar ayah itu menghambur kata kurang enak pada pendengaran guru kelas itu.

Dalam nada tinggi, ayah itu meluah rasa, “Saya tidak pernah jentik pun anak saya di rumah, apatah lagi memukulnya. Bagaimanakah cikgu mengajar anak saya ini? Tidak perlu pukul atau rotan anak saya bagi memandaikannya. Sekiranya susah sangat belajar di dalam kelas ini, pindahkan sahaja dia ke kelas belakang!”

Guru kelas penanggung beban itu memandang ke arah anak muridnya yang duduk bersebelahan ayahnya, lalu bertanya, “Kamu mahu pindah ke kelas belakang?”

Murid lelaki bertubuh agak gempal itu menggeleng-geleng, sambil tersenyum simpul, tersipu-sipu bagai anak dara yang baru dirisik orang.

“Saya tidak peduli. Buatlah bagaimanapun, tetapi jangan sentuh anak saya. Di rumah, saya tidak pernah jentik pun anak saya ini!”

Guru kelas itu terkedu.

Seorang lagi penjaga murid duduk, setelah lelaki penghambur kata berlalu. Guru kelas menghulurkan buku berwarna biru tanpa sebarang kata. Ibu muda itu tersenyum, lantas membelek buku rekod prestasi anaknya. Guru kelas itu tidak membuka mulut, lalu ibu muda itu berkata, “Huh, sederhana sahaja keputusannya! Cikgu rotanlah anak saya ini. Saya hendak sangat dia masuk ke sekolah berasrama penuh tahun hadapan. Buatlah bagaimanapun, asalkan anak saya berjaya.”

Guru itu terkebil-kebil, dan terkedu lagi.

II
Semalam, aku mewakili Guru Penolong Kanan sekolahku menghadiri perhimpunan Hari Guru peringkat daerah Jempol dan Jelebu. Walaupun sambutan Hari Guru sebenar pada tanggal 16 Mei lalu, namun semangatnya masih dirai semalam bagi peringkat daerah ini. Perhimpunan ini dihadiri oleh para pentadbir sekolah seluruh daerah di bawah Pejabat Pelajaran Daerah Jempol/Jelebu, dan dirasmikan oleh Dr. Rais Yatim, selaku ahli parlimen Jelebu. Duduk di kalangan golongan pentadbir ini kurasakan diri juga selaku pentadbir. Semangat itu tiba-tiba meresap ke dalam diri. Tiga orang guru diraikan sebagai tokoh guru daerah pada tahun ini. Ganjaran RM1000 bagi setiap orang tokoh guru ditambah RM1000 lagi oleh Dr. Rais Yatim sebagai penambah rasa.

Apalah sangat ganjaran RM1000 tambah RM1000 itu berbanding khidmat bakti yang mereka curahkan. Bagiku, ia tidak lain hanya sekadar rasa meraikan. Ia seolah-olah memberikan hadiah gula-gula atau sebatang pensel kepada murid yang menjawab dengan betul soalan yang diajukan di dalam kelas. Jumlah sebegitu juga yang diberikan kepada guru-guru penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang saban tahun. Makanya, RM1000 yang sebegitu bukanlah sesuatu yang dikejar-kejar hingga meleleh air liur. Ia bukanlah faktor kepada semangat berlumba-lumba bagi mencurah khidmat bakti selagi ada kudrat dan nafas.

Menelusuri sumbangan ketiga-tiga tokoh guru ini, walaupun sekadar peringkat daerah, membuatkan semangat diri tersuntik bagi memberi erti lagi pada perjuangan dalam lapangan yang diceburi ini.

III
Kutinggalkan semalam, separuh tahun 2009 ini tanpa sebarang manuskrip novel yang berjaya kusudahkan. Aduhai!




Subhanallah…….!

15 June 2009

SIAPAKAH KITA?

JADILAH DIRIMU
Andai kita menjadi pisang,
usah sesekali cuba menjadi jambu batu,
atau mangga madu,
atau juga jagung susu,
kerana kita ialah pisang.
Jambu batu, mangga madu dan jagung susu
punya rupa bentuknya sendiri,
ada manisnya sendiri.
Tetaplah menjadi dirimu,
pada zat dan khasiat yang ada padamu,
kerana engkau ialah pisang bermutu.

Lemak manismu hidangan pembuka selera,
jua penambah rasa ramuan kuih-muih warisan manusia.
Jadilah dirimu sendiri,
manis lemakmu tetap dicari,
tetap manusia rindui.
MYA MARJA
Bandar Seri Jempol, NS.
2 JUN 2009.

16 May 2009

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Selamat Hari Guru kuucapkan kepada semua yang bergelar guru. Selagi bernama guru, tugas kita adalah menyampaikan ilmu, mendidik dan terus membina jati diri bangsa melalui saluran tugas yang teramanah di pundak kita.

Hari Guru tahun ini jatuh pada hari cuti. Maka, ia bakal disambut pada tarikh lain. Jadi, kurang semangat sambutannya bagi diriku. Sementelah pula, dipanggil kursus di Melaka pada tarikh keramat sambutan pada peringkat sekolahku. Sekiranya tiada rezeki, begitulah. Tidak mengapa, perjuangan guru tetap berterusan.

Tema Hari Guru pada tahun ini hampir-hampir serupa dengan tajuk novel pertamaku. Malah, dari segi maksud sememangnya serupa. Maka, marilah sama-sama dapatkan naskhah sulungku itu bagi dihadiahkan kepada para guru sebagai hadiah Hari Guru pada tahun ini (dan tahun-tahun seterusnya... :D)

Selamat Hari Guru.

Alhamdulillah...

11 May 2009

DULU, KINI DAN SEMALAM


AKU DAN ROTAN

Dulu aku pernah dirotan, sakit!
Walau aku tak bersalah
tetapi aku diam.

Kini giliran aku merotan
emak ayah bawa parang
maki hamun dilayang.

Kata mereka jangan rotan
guna sahaja pujukan
nasihat dan amaran.

Maka rotan pun diharamkan
sesiapa merotan ada hukuman
siapkan sahaja duit peguam.

Semalam yang haram mahu dihalalkan
mungkin aku salah pendengaran
mungkin itu hanya gurauan
atau sekadar igau-igauan.

MYA MARJA
Bandar Seri Jempol, NS.
11 MEI 2009.


~Hujung-hujung, cikgu juga yang disalahkan. Hmmm…alahai... Alhamdulillah…!

08 May 2009

TERSESAT DI NEGERI RIMBA

KUDETA

Hei, mari lawan denganku
dengan bahasa lelaki
kalau engkau berani.

Hei, mana lelakimu?
Tanpa rasa malu
engkau duduk di situ.

MYA MARJA
Bandar Seri Jempol, NS.
8 MEI 2009.


Subhanallah...

06 May 2009

BUKA PINTU ITU


PINTU

Apabila satu pintu tertutup,
satu pintu lagi akan terbuka.
Langkahkan kaki ke sana,
jangan berdiri dan meratap hiba
di pintu yang tak akan terbuka semula.

Apabila satu pintu tertutup,
masih ada pintu lain untuk kita buka.
Kerahkan kaki ke sana, arahkan tangan membukanya,
jangan berdiri sahaja di pintu yang telah tertutup rapat untuk kita.

Apabila satu pintu tertutup, pintu-pintu lain menanti untuk kita buka.
Langkahkan kaki ke sana,
jangan berdiri sahaja di pintu yang telah terkatup rapat
dan tak mungkin terbuka.

Apabila pintu terbuka menanti kunjungan,
jangan kita asyik berangan.
Langkahkan kaki ke sana,
jangan berdiri sahaja di pintu yang telah tertutup untuk kita,
jangan!

Apabila satu pintu tertutup, dan pintu-pintu lain tidak terbuka,
maka berakhirlah catatan rezeki untuk kita.
Kembali kita pada Yang Esa.

MYA MARJA
Bandar Seri Jempol, NS.
6 MEI 2009.


Alhamdulillah...